Tekanan di tempat kerja kini dilihat bukan sekadar isu kesihatan mental, malah boleh menjadi antara faktor yang mendorong individu terjebak dalam gaya hidup lesbian, gay, biseksual, dan transgender (LGBT).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan menjelaskan bahawa bebanan kerja yang tidak terkawal mampu mempengaruhi kestabilan emosi sehingga membawa kepada perubahan gaya hidup tersebut lapor Harian Metro.
“Mengenai faktor-faktor yang menyumbang kepada isu berkaitan LGBT, antaranya seperti yang ditunjukkan dalam kajian oleh Sulaiman et al. (2017), terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi penglibatan individu dalam gaya hidup LGBT.
“Pengaruh sosial, pengalaman seksual, tekanan berkaitan kerja dan faktor peribadi lain mempengaruhi individu untuk tergolong dalam kategori ini.
“Kajian tersebut menekankan bahawa gabungan elemen-elemen ini mungkin menyumbang kepada perkembangan tingkah laku berkaitan LGBT,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.
Kenyataan parlimen isu ini dibangkitkan oleh Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN–Rantau Panjang) yang meminta kerajaan mendedahkan data terperinci mengenai trend LGBT di Malaysia termasuk pecahan umur, bangsa, dan faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan kes tersebut.
Status Data Semasa Menjawab persoalan tersebut, Dr. Zulkifli Hasan menjelaskan bahawa buat masa ini, kerajaan tidak mempunyai statistik khusus mengenai jumlah sebenar populasi individu yang terlibat dalam komuniti LGBT di negara ini.
Sumber: The Vocket