Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan projek ladang babi moden di Bukit Tagar dibatalkan terlebih dahulu kerana ia menimbulkan keresahan serius dalam kalangan penduduk pelbagai kaum di kawasan terbabit.
Sehubungan itu, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari untuk menilai semula projek ini dengan serius.
“Saya akan berbincang dengan Menteri Besar, Selagor, Datuk Seri Amiruddin dan supaya bagi pandangan supaya kalau boleh batalkan dulu projek itu dan pertimbangkan kalau boleh kawasan yang lebih baik dengan syarat teknologi itu terjamin,” tegas Perdana Menteri.
Anwar berkata demikian semasa sidang media selepas menunaikan solat Jumaat bersama rakyat di Surau Al- Amin, Seksyen 8 Bandar Baru Bangi, hari ini.
Tambah beliau, projek berkenaan tidak wajar diteruskan meskipun menggunakan teknologi moden kerana ia berisiko menimbulkan kesan negatif kepada masyarakat atau alam sekitar.
Justeru, beliau menekankan kepentingan memilih lokasi yang betul bagi melaksanakan projek berkenaan sambil mengambil kira pandangan rakan-rakan serta nasihat Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah demi kesejahteraan rakyat.
Menurut Anwar, perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan beliau, pagi tadi.
“Kita (jemaah menteri) berpandangan dalam isu ini, isu persekitaran, keresahan rakyat, berbagai kaum di sekitar kawasan baru itu harus beri perhatian,” kata beliau.
Sabtu lalu, Amirudin berkata Kerajaan Negeri Selangor masih belum mengenal pasti lokasi alternatif bagi menggantikan Bukit Tagar sebagai tapak baharu pemindahan ladang ternakan babi berpusat di negeri itu.
Beliau bagaimanapun berkata kerajaan negeri kekal terbuka dan memberi ruang kepada semua pihak untuk sebarang perbincangan bagi memastikan pelaksanaan sistem ternakan yang lebih teratur serta komprehensif.
Kerajaan Negeri Selangor sebelum ini memutuskan untuk mempercepatkan pemindahan ladang ternakan babi di Kuala Langat dan Sepang ke pusat ternakan moden di Bukit Tagar, Hulu Selangor seluar 500 ekar selewat-lewatnya hujung tahun ini bagi menangani pelbagai isu pencemaran dan memastikan kelestarian alam sekitar.
Sumber – MalaysiaGazette