Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa agar mengkaji semula keseluruhan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 agar ia lebih bersifat mendidik tanpa membebankan termasuk ujian saringan atau peperiksaan diagnostik terhadap kanak-kanak sebagai syarat kemasukan ke darjah satu.
Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Anuar Ahmad berpendapat, tindakan itu tidak wajar dan hanya akan memberi tekanan emosi yang melampau kepada kanak-kanak yang masih di peringkat usia bermain.
“Dasar kemasukan ini tidak seharusnya bersandarkan kepada ujian formal kerana tahap perkembangan kognitif setiap anak adalah berbeza.
“Kita tidak boleh memaksa anak-anak ini melalui sistem ujian hanya kerana mahu memenuhi struktur.
“Mereka terlalu kecil untuk dibebankan dengan peperiksaan atau saringan yang bersifat formal,” katanya menerusi program SKOP MG.
Dengan tajuk RPN 2026-2035: Reformasi Tulen Atau Ganti Kulit? beliau berkata, anak-anak tidak wajar dipaksa masuk ke sistem formal dengan tekanan saringan sedangkan mereka belum bersedia.
“Kita mahu kualiti yang fleksibel dan adil, bukan sistem yang menjerumus anak-anak ke kancah tekanan seawal usia prasekolah,” katanya.
Beliau menambah, KPM perlu melihat kepada kesiapsiagaan secara semula jadi dan bukannya melalui ‘paksaan’ ujian saringan yang hanya akan menghukum murid yang lambat berkembang.
“Tumpuan harus diberikan kepada penguasaan asas 3M (membaca, mengira, menulis) melalui proses pembelajaran yang santai di prasekolah.
“Kaedah diagnostik yang tegar yang boleh membunuh minat anak-anak untuk bersekolah.
“Emosi anak-anak juga perlu diberi perhatian, apatah lagi jika ada yang melihat Kawan-kawan dan masuk darjah 1, tapi mereka masih di tadika,” katanya.
Jelasnya, perkara ini harus diperhalusi walaupun ia bukanlah paksaan.
“Kita kena faham, bila saya sebut tentang saringan atau penilaian kesiapsiagaan, ia bukanlah satu bentuk paksaan atau peperiksaan yang menentukan anak itu ‘lulus’ atau ‘gagal’ untuk masuk sekolah. Itu tanggapan yang salah.
“Apa yang kita mahukan ialah satu mekanisme untuk mengenal pasti tahap kesediaan mereka.
“Kita tak boleh paksa semua anak melalui satu ‘lubang’ yang sama pada waktu yang sama sedangkan perkembangan mereka berbeza,” ujarnya lagi.
Beliau turut menambah, ujian itu sepatutnya bukan untuk menghalang anak-anak bersekolah sebaliknya membantu para pendidik tahu di mana tahap anak-anak ini.
“Kalau kita buat saringan dan nampak anak itu belum sedia, jawapannya bukan ‘paksa’ dia ambil peperiksaan sampai lulus, tapi jawapannya ialah beri dia sokongan atau intervensi.
“Jangan jadikan ujian itu sebagai beban atau tekanan kepada anak-anak yang belum pun masuk Darjah Satu.
“Biarlah proses itu berlaku secara semula jadi dan fleksibel mengikut kemampuan kognitif mereka,” katanya lagi.
Anuar turut menambah, ia bukan soal struktur atas kertas yang memaksa umur enam tahun kena masuk sekolah.
“Ia adalah soal kualiti dan keadilan kepada anak tersebut supaya mereka tidak rasa ‘dihukum’ oleh satu sistem saringan yang tegar di awal usia,” katanya.
Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Datuk Dr Mohamad Ali Hasan turut bersetuju dan menegaskan pihaknya sangat bimbang jika anak-anak dijadikan ‘mangsa keadaan’ demi mengejar KPI kementerian.
“Ibu bapa tidak bersetuju dengan apa juga usaha untuk meletakkan anak-anak ke dalam sistem yang memerlukan saringan akademik sebelum layak masuk sekolah rendah.
“Mereka mahu anak-anak masuk sekolah untuk belajar dalam suasana gembira bukannya masuk dengan perasaan tertekan kerana terpaksa lalui ujian membaca atau menulis sedangkan mereka baru hendak mula.
“KPM perlu dengar suara di bawah ini. Kita perlukan dasar yang lebih mesra kanak-kanak. Jangan disebabkan mahu tukar struktur pendidikan, anak-anak yang belum masuk sekolah sudah pun dipaksa menduduki peperiksaan,” tegasnya.
Sumber: Malaysia Gazette